• Info Pasemboq

    Ahad, 4 Oktober 2015

    Leka Dalam Jaga


    Sebagai ibu bapa, kerenah anak-anak sememangnya lumrah dalam berkeluarga. Terutamanya anak-anak yang masih kecil.

    Gelagat seorang ayah bersama anak-anaknya ketika aku sedang makan malam di sebuah restoren agak menarik perhatianku. Biarpun lebih banyak mendengar si ayah bersuara dan sekadar memerhati dari hujung anak mata kerana mejaku bertentangan dengan mereka. 

    Lumrah kanak-kanak gemar berlari sana sini, biarpun ditegur si ayah (dengan suara yang agak tegas kukira) namun tak diendahkan. Manakala si ibu lebih banyak mendiamkan diri.

    Dalam asyik menjamu selera, aku perasan salah seorang kanak-kanak terbabit berura-ura ingin melintas jalan. Agak risau melihat gelagatnya kerana aku sedar, ada sebuah kereta yang sedang melalui jalan tersebut. Ternyata si bapa juga menyedari akan gelagat anak-anaknya, apabila aku terdengar dengan lantang beliau melarang anaknya berlari sambil memberi amaran kereta banyak melintas. Namun begitu, aku mengandaikan beliau tidak menyedari akan kehadiran sebuah kereta kerana duduk membelakangkan jalan.

    Walaupun kedengaran tegas, namun hanya teguran dari jauh, sedangkan kanak-kanak terbabit sudahpun berdiri di bibir jalan sambil terkinja-kinja membuatkan aku menggeleng kepala. Namun, tindakan kanak-kanak terbabit tiba-tiba melintas jalan selepas beberapa ketika sebaik sahaja kereta tadi melalui jalan tersebut membuatkan aku sedikit terkejut. Mujurlah tidak ada kereta lain sedang lalu ketika itu. Tindakan si bapa yang sedang makan sekadar memarahi anaknya yang melintas jalan tanpa memandangpun ke arah anaknya yang sudahpun ke seberang jalan membuatkan aku sekali lagi menggeleng kepala.

    Malang itu tidak pernah berbau. Namun sikap berwaspada itu perlu sentiasa ada. Sekadar menegur tanpa mengambil tindakan ada kalanya tidak begitu sesuai. Bila musibah sudah menimpa barulah nak menyesal tak sudah.

    Bagi peniaga restoren pula, meletakkan meja dan kerusi makan di atas petak parking kereta tidak sepatutnya dilakukan. Perbuatan ini menyebabkan pelanggan yang menjamu selera berada betul-betul di tepi laluan kereta. Sedikit sahaja kelekaan baik dari pemandu kereta, mahupun pelanggan, apatah lagi kanak-kanak mampu memberi musibah. Oleh itu, beringatlah sebelum kena.



    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan

    Iklan

    Iklan

    Iklan